Sunday, May 16, 2010

SEJARAH SEKOLAH

Dalam tahun 1950an, murid- murid yang tamat persekolahan Cina di Tanjung Malim, Kalumpang, Kerling, Kuala Kubu Bharu, Behrang, Slim River dan Slim Village terpaksa pergi ke Kuala Lumpur atau ke Ipoh bagi melanjutkan persekolahan menengah kerana tiada sekolah di Tanjung Malim.
Justeru itu hanya segolongan mereka yang berkemampuan sahaja melanjutkan pelajaran menengah.

Sebuah sekolah menengah telah dicadangkan untuk ditubuhkan. Ini bertujuan bagi memenuhi hasrat kaum Cina di Tanjung Malim. Dalam tahun 1959, Missionary Catholic telah membeli tanah seluas 6 ekar di Slim Lama dengan tujuan untuk mendirikan sebuah sekolah Konven Menengah. Kaum Cina yang terdiri daripada pemimpin mereka iaitu Tuan Lee Seek Fun (M.P) dan Tuan Chen Chin Long telah menemui pihak Mission Catholic dan merayu agar pihak yang berkenaan dapat mendirikan sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) bagi murid-murid lelaki dan perempuan.

Pada bulan Februari 1960, pihak Mission Catholic telah bersetuju dan membentuk jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa wakil persatuan Eng Choon, Persatuan Kek, Persatuan Kukong Chow, Persatuan Kow Chew dan Persatuan Keng Chew Klan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber bantuan kewangan serta bekerjasama dengan pihak Mission Catholic bagi mendirikan sebuah sekolah yang bakal diberi nama “Catholic National Type Chinese Secondary School” atau “Catholic High School”. Pelbagai bangsa telah ditawarkan untuk menuntut di sekolah ini.

Pada 19 Februari 1960, satu perjumpaan rasmi telah diadakan di Persatuan Niaga Cina (Chinese Merchant Association) Tanjung Malim. Para hadirin terdiri daripada 11 wakil yang mewakili Persatuan Cina Tanjung Malim, 2 wakil dari Slim River,2 wakil dari Slim Village, seorang dari Behrang Stesyen dan seorang dari Kerling. Mission Catholic diwakili oleh Mendiang Francis Chan bersama-sama Rev. Father Ki, Rev. Father Chu, Rev. Father Lim dan Rev. Surjan Singh (J.P). Mendiang Tuan Teh Seh Lan telah mempengerusikan satu jawatankuasa yang dipanggil “Catholic High School Building Fund Committee”.

Perjumpaan kedua telah diadakan pada 13 Mac 1960. Persatuan-persatuan Kek, Eng Choon, Ku Kong Chew, Keng Chew Klan Tanjung Malim, Kaum Cina Slim, Slim River, Behrang Stesyen, Kerling, Kalumpang dan Kuala Kubu Bharu menyumbangkan wang sebanyak RM 3,000.00 manakala pihak Kementerian Pelajaran menyumbangkan wang sebanyak RM 35,000.00.

Pelan-pelan bagi bangunan sekolah ini telah dihantar ke Kementerian Pelajaran pada 31 Mei 1960. Tender iklan bagi bangunan sekolah yang mempunyai 10 bilik darjah, sebuah makmal Sains dan sebuah tandas telah dikeluarkan pada 30 Jun 1960.

Pada 31 Januari 1961, sekolah ini bermula dengan 2 darjah peralihan yang mengandungi 72 orang penuntut. Pengetua pertama sekolah ini ialah Rev. Father Dr. Chu. Bangunan Persatuan Eng Choon dan Persatuan Kek di Jalan Chong Ah Peng digunakan sebagai kelas-kelas sementara.

Perasmian meletak batu asas Catholic High School telah berlangsung pada 1 Ogos 1961 pada pukul 5 petang dan telah dihadiri oleh Y.B Menteri Kehakiman Mendiang Tuan Tun Leong Yew Koh, Y.B. Lee Seck Fun, mendiang Bishop Francis Chan, Lee Mui Yui dari Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Lembaga Pengurus dan lain-lain orang kenamaan.

Sekolah ini telah berpindah dari bangunan Persatuan Eng Choon dan Persatuan Kek ke bangunan baru di Jalan Slim. Seramai 6 orang guru telah mengendalikan seramai 142 orang murid tingkatan 1 dan tingkatan 2.

No comments:

Post a Comment